Ketika kandungan berusia sekitar 16 hingga 20 minggu, ultrasound biasanya akan dilakukan. Inilah saat yang paling menyeronokkan bagi si ibu kerana buat pertama kali mereka berpeluang untuk melihat sendiri bayi yang dikandungnya itu. Yang menariknya tentang ujian ultrasound ini ialah anda boleh tahu banyak perkara tentang bayi anda.

Antaranya ialah jantina anak. Walau bagaimanapun kadang kala jangkaan ini tidak tepat kerana semuanya bergantung pada posisi bayi ketika itu. Anda juga boleh tahu umur bayi dan jangkaan tarikh bersalin selain daripada mengetahui kedudukan sebenar bayi dan plasenta. Bagi yang tidak pasti adakah mereka hamil kembar ataupun tidak, ujian ultrasound mampu membuktikannya.

Biasanya semasa di trimester kedua kehamilan, ujian ultrasound dilakukan dengan begitu terperinci untuk mengesan sebarang kecacatan pada bayi. Antara yang mampu dikesan ialah seperti masalah jantung berlubang, hidrokephalus, masalah lubang pada diafram (diaphragmatic hernia), kecacatan tulang belakang (spina bifida), sumbing, kaki bengkok (club foot) dan sebagainya.

Untuk pengetahuan anda, penggunaan mesin ultrasound dalam bidang perubatan telah bermula sejak tahun 40-an lagi. Kini, sejajar dengan perkembangan zaman, kemampuan mesin ini telah dipertingkatkan berlipat kali ganda sehingga berupaya memberikan imej terbaik. Dan kini, mesin ultrasound 3D telah dihasilkan.

Dengan mesin ini, imej bayi dapat dirakamkan dengan begitu jelas. Jika anda menjalani ujian ini pada peringkat awal kehamilan, anda dinasihatkan agar minum banyak air sebelum ujian dilakukan agar rahim jelas kelihatan pada skrin dan mudahlah doktor menerangkan dengan terperinci segala maklumat yang mereka dapat.

Sebelum ujian ini dilakukan, satu lapisan gel akan disapu pada bahagian perut dan sejenis alat yang dikenali sebagai transducer akan dilalukan perlahan-lahan pada bahagian perut. Transducer ini berperanan untuk memancarkan dan menerima gelombang bunyi yang kemudiannya akan diterjemahkan dalam bentuk imej pada skrin.