Sakit belakang khususnya pada bahagian pinggang adalah perkara biasa yang akan berlaku kepada ibu hamil yang memasuki trimester ke tiga kehamilan. Keadaan ini disebabkan oleh kelonggaran ligamen atau otot yang mengikat tulang dan sendi.

Ia turut terjadi akibat posisi yang kurang baik akibat perut yang semakin membesar. Biasanya, sakit ini tidak ada ubatnya. Dan masalah ini akan berakhir selepas bersalin.

Panduan Kurangkan Sakit Belakang
a. Jangan berdiri terlalu lama. Jika anda tidak dapat mengelakkan perkara ini, pastikan anda mempunyai masa dan ruang untuk merehatkan kaki buat seketika. Caranya adalah dengan mengangkat sebelah kaki atau kedua-duanya ke tempat yang lebih tinggi seperti 10-15 sm untuk beberapa saat.

b. Elakkan tidur dalam pelbagai posisi.
Sebaiknya, tidur dalam keadaan satu posisi sambil letakkan bantal di bawah kedua-dua lutut. Hal ini dapat mengurangkan tekanan pada tulang belakang.

c. Jangan mengangkat barang yang berlebihan. Hal ini kerana, cara mengangkat sama ada memutarkan pinggang atau membongkok ke hadapan untuk mengambil sesuatu boleh memburukkan lagi masalah sakit pinggang. Jadi, mintalah bantuan orang lain untuk mengangkat sesuatu benda.

d. Pakai kasut yang bertumit rendah atau langsung tidak bertumit.

e. Senaman juga dapat membantu mengurangkan ketegangan pada pinggang. Antara senaman yang digalakkan adalah seperti di bawah:


i. Dapatkan posisi seperti mahu merangkak. Pastikan kedudukan kedua belah tangan dan kaki selari.

ii. Tundukkan kepala dan mula bongkokkan badan untuk beberapa saat. Ulangi langkah ini untuk beberapa kali sehingga sakit belakang mulai reda.