Soal berpakaian tidak boleh dipandang remeh walaupun ketika hamil. Selain perlu tampil berkeyakinan dan bergaya, keselesaan juga perlu diberi keutamaan.

Pakaian yang biasa digunakan sudah tidak lagi sesuai. Kini, hanya pakaian yang besar dan longgar padan dengan anda. Bagi yang bekerja, soal pakaian lebih memeningkan. Setiap pagi, banyak masa dihabiskan semata-mata untuk menentukan pakaian mana yang ingin dipakai.

• Pakailah pakaian yang buat anda rasa selesa dan bukan yang menyakitkan.

• Janganlah menganggap anda perlu memakai pakaian hamil seawal usia kandungan seminggu dua. Ketahuilah bahawa anda masih boleh memakai pakaian biasa selagi perut belum besar. Dan sebelum anda benar- benar sesuai untuk memakai pakaian mengandung, sarungkan sahaja pakaian yang boleh meregang dan yang sesuai keadaan anda pada masa itu.

 

• Jangan sesekali batasi penampilan anda dengan baju atau jubah labuh. Sebaliknya, pelbagaikan penampilan agar sentiasa kelihatan menawan walaupun berbadan dua. Paling penting, jangan rambang mata semasa membeli pakaian mengandung. Belilah ikut keperluan dan bukan ikut perasaan. Ingat, pakaian tersebut hanya akan dipakai untuk beberapa bulan sahaja dan kemudiannya disimpan untuk kehamilan akan datang yang belum pasti bilakah masanya.

• Pilih pakaian yang diperbuat daripada bahan yang mudah meresap peluh kerana ibu hamil sering rasa panas dan cepat berpeluh.

• Selain daripada memilih kasut yang bertumit rendah, pastikan juga kasut tersebut mempunyai bukaan hadapan yang luas agar kaki dapat bernafas dengan baik.