Rasa tidak selesa yang menghantui diri sejak awal kehamilan kini makin beransur-ansur berkurangan. Waktu ini bolehlah dianggap saat yang paling membahagiakan sebelum fasa kehamilan jadi bertambah sukar apabila kandungan makin besar. Ini ibarat tempoh bertenang untuk ibu dan boleh merehatkan diri sekejap.

Masuk sahaja ke trimester kedua, ibu hamil biasanya akan jadi lebih bersemangat. Dah boleh lupakan masalah morning sickness. Bagaimanapun ada juga sesetengah ibu hamil yang masih lagi rasa loya khususnya pada waktu pagi walaupun kandungan sudah pun berusia 14 minggu.

Keadaan ibu pada fasa ini, perut semakin besar sedikit demi sedikit, payu dara mula membesar, kawasan puting susu menjadi makin gelap.

Tahniah! Anda dikira berjaya melepasi trimester pertama mengandung dan dinasihatkan memakai baju longgar dan senang untuk bergerak.

Ibu dah mula rasa bersemangat untuk lakukan rutin harian dan bagi yang bekerja dah boleh bekerja seperti biasa tanpa ada lagi masalah sampingan seperti di awal kandungan. Kandungan juga makin kuat!