Hamil bukan bererti anda tidak boleh melakukan hubungan kelamin. Malah hubungan ini perlu diteruskan walaupun berbadan dua kerana dipercayai kekerapan melakukannya boleh membantu memudahkan proses kelahiran.

Sebenarnya rasa tidak selesa untuk melakukan hubungan kelamin ketika hamil adalah lumrah bagi kebanyakan wanita. Kesemua ini adalah akibat perubahan pelbagai hormon, emosi dan sistem dalam badan ekoran daripada proses kehamilan.

Walau bagaimanapun, wanita perlu tahu bahawa hubungan kelamin adalah untuk kenikmatan bersama. Oleh yang demikian, tidak ada pihak yang patut rasa terpaksa ataupun dipaksa.

Untuk pastikan anda benar-benar dapat menikmati keseronokan hubungan seksual ketika hamil, anda perlulah tahu yang sebenarnya hubungan kelamin sedikit pun tidak akan membahayakan bayi dalam kandungan.

Untuk pengetahuan, bayi dalam kandungan diberikan perlindungan rapi di dalam rahim oleh cecair amniotik dan membran sel selain daripada sokongan padu rahim itu sendiri. Walau bagaimanapun, hubungan kelamin yang dilakukan itu mestilah dengan cara yang lembut agar tidak berlaku sebarang ketidakselesaan ketika aktiviti berlangsung.

 

Ramai wanita mengakui mereka lebih ghairah dan berahi sewaktu berada di peringkat pertengahan kehamilan. Antara faktor yang menyumbang ke arah peningkatan keinginan seksual mereka ialah perubahan fizikal.

Payudara misalnya. Perubahan saiz yang berlaku lazimnya menjadi pemangkin ke arah hubungan seksual yang memberahikan. Begitu jugalah dengan alat kelamin. Alat kelamin wanita hamil biasanya kelihatan sedikit besar daripada biasa. Kesannya, bahagian tersebut menjadi lebih peka terhadap sebarang sentuhan ataupun tekanan.

Jadi tidak hairanlah jika pada masa ini, wanita lebih cepat bertindak balas terhadap segala rangsangan terutamanya rangsangan seksual yang dilakukan terhadap mereka. Dan bagi sesetengah wanita, waktu hamil adalah saat terbaik untuk mereka merasai nikmat sebenar orgasme.

UBAH POSISI UNTUK KESELESAAN

Umumnya, hubungan kelamin ketika kandungan mula mencecah trimester kedua akan menyebabkan anda dan pasangan rasa sedikit tidak selesa kerana perut sudah semakin membesar. Namun, ini bukan alasan untuk tidak melakukannya.

Sebenarnya, semasa hamil banyak posisi yang biasa menjadi pilihan sebelum ini sudah tidak lagi sesuai untuk dipraktikkan. Untuk itu, posisi baru perlu dipelajari. Biasanya ada tiga posisi yang sesuai untuk diamalkan lebih-lebih lagi tatkala perut sudah semakin membesar.

Posisi pertama yang sering menjadi pilihan ialah husband behind position atau juga disebut sebagai the rear position. Untuk melakukan posisi ini, suami perlulah mengambil kedudukan di belakang si isteri. Selain daripada dapat mengelakkan tekanan pada perut isteri, tangan suami juga pada ketika itu bebas membelai manamana bahagian tubuh isteri yang disukai. Posisi kedua yang turut menjadi kegemaran pasangan yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata ialah the woman on top position.

Posisi ini dilakukan dengan cara suami tidur telentang dan isteri duduk di atas paha suami. Posisi ini sering dipilih kerana bahagian perut si isteri tidak ditekan seterusnya memberi mereka peluang mengendalikan sendiri hubungan kelamin yang dilakukan itu.

The side lying position ialah posisi ketiga yang menjadi pilihan ibu-ibu hamil. Untuk posisi ini, pasangan suami isteri perlu berada dalam keadaan mengiring. Ketika mengiring terpulanglah sama ada untuk saling berhadapan ataupun suami berada di belakang isteri. Kelebihan posisi ini ialah pasangan akan lebih rasa santai dan tangan masing-masing boleh saling usap-mengusapi antara satu sama lain.

SEKS DAN PROSES KELAHIRAN

Hubungan seks diakui kadang kala boleh mempercepatkan proses kelahiran. Hal ini kerana air mani mengandungi sejenis hormon yang dikenali sebagai prostaglandin yang fungsinya membantu melembutkan serviks sebagai persiapan untuk proses bersalin.

Selain air mani, hubungan kelamin ketika hamil juga merangsang sel-sel yang ada dalam serviks untuk merembes sendiri hormon prostaglandin. Namun, sekiranya terlalu banyak hormon tersebut dihasilkan, kelahiran awal mungkin terjadi.