Sekiranya anda hamil ketika usia menjangkau 35 tahun ke atas, anda boleh digolongkan sebagai ibu hamil berisiko. Banyak kemungkinan boleh berlaku. Oleh yang demikian, ujian dan pengawasan khusus perlu dilakukan sepanjang kehamilan.

Salah satu ujian yang wajib ibu ambil adalah ujian amniocentesis. Ujian ini adalah untuk mengesan sebarang masalah atau kemungkinan berkaitan kelainan kromosom yang boleh berlaku pada janin. Proses amniocentesis melibatkan pengambilan sedikit contoh air ketuban dengan menggunakan jarum yang ditusuk pada perut ibu.

Biasanya, ujian ini dilakukan pada usia kandungan mencapai usia 16 – 20 minggu. Kelainan kromosom ni akibat daripada telur ibu yang semakin tua. Berkemungkinan anak yang bakal dilahirkan akan mengalami masalah Sindrom Down. Walau bagaimanapun, ibu hamil yang di bawah usia 35 tahun tidak perlu menjalankan ujian ini. Namun sekiranya anda ingin memastikan kesihatan bayi, tiada halangan untuk melakukan ujian tersebut.

Anda yang hamil pada usia lanjut ini perlu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor setiap bulan sehingga ke hujung minggu kehamilan. Sebaiknya, rawatan tersebut dilakukan oleh hanya seorang doktor pakar di mana-mana hospital.

Hal ini untuk memastikan doktor yang akan menyambut bayi tahu tentang sejarah kesihatan anda sepanjang kehamilan. Oleh yang demikian, kerjanya nanti akan lebih mudah dan bersedia dengan apa jua kemungkinan yang boleh berlaku.

Selain itu, ibu hamil lewat usia mungkin juga mengalami masalah kegagalan janin berada di tempat yang sepatutnya. Jadi, masalah seperti songsang dan sebagainya akan berlaku. Akibat daripada masalah tersebut, ibu hamil ini terpaksa menjalani proses kelahiran secara pembedahan. Dan ada kalanya doktor terpaksa melakukan forsep jika bayi masih gagal di keluarkan secara normal.

Ibu hamil lewat usia juga selalunya akan melahirkan bayi yang agak kecil. Bukan setakat itu sahaja, mungkin juga bayi ini lahir tidak cukup bulan. Alasannya adalah, ibu hamil yang berusia melebihi 35 tahun mempunyai uri yang agak lemah dan ini membuatkan penyaluran oksigen dan zat pada bayi menjadi kurang.