Tenang ketika berhadapan dengan masalah sangat penting. Oleh itu, lengkapkan diri dengan ilmu merehatkan badan.

 

KETIKA hamil sangat penting untuk seseorang ibu itu sentiasa rasa tenang sama ada pada mental mahupun fizikal. Mengetahui cara untuk bertenang ada banyak kebaikannya terutama semasa berhadapan dengan proses kelahiran.

 

REHAT UNTUK FIZIKAL Mulakan dengan membuatkan diri rasa selesa dan pastikan seluruh tubuh anda turut serta rasai keselesaan itu. Kemudian tumpukan perhatian anda pada satu-satu bahagian badan. Bermula dengan ibu jari kaki hinggalah ke kepala. Pastikan semua anggota itu berehat secukupnya. Sebaik sahaja selesai aktiviti merehatkan badan, anda pasti rasa nyaman dan selesa.

REHAT UNTUK MINDA Untuk menjayakan aktiviti ini ibu hamil perlulah betul-betul tumpukan perhatian terhadap apa yang dilakukannya. Oleh itu, mereka perlulah cari tempat yang sunyi agar matlamat aktiviti ini tercapai. Untuk merehatkan minda, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah kosongkan fikiran dan tumpukan kepada pernafasan. Sedut nafas dalam-dalam kemudian tahan untuk beberapa saat sebelum anda lepaskannya kembali secara perlahan-lahan. Selain daripada belajar menyesuaikan diri dengan paten pernafasan tersebut, anda perlulah juga pastikan otot-otot berada dalam keadaan rehat  dan dalam masa yang sama biarkanlah fikiran anda melayang-layang tanpa memikirkan sebarang masalah.

URUTAN Selain berehat, urutan juga cara terbaik untuk meredakan tekanan. Walau bagaimanapun, urutan yang dilakukan mestilah lembut, padat dan berirama. Kini, terdapat pelbagai bentuk urutan untuk dijadikan pilihan.  Namun, bukan semua orang sesuai dengan urutan tersebut. Misalnya, urutan aroma terapi. Ada sesetengah minyak yang digunakan berbahaya jika diamalkan oleh ibu hamil. Oleh yang demikian, sebelum menggunakan satu-satu kaedah ataupun produk, para ibu hamil dinasihatkan agar berjumpa doktor untuk  mendapatkan nasihat.