Sebenarnya ketika hamil, banyak makanan perlu anda elakkan. Semua ini adalah demi untuk kesihatan anda dan bayi dalam kandungan. Semasa memilih menu, anda perlulah elakkan diri daripada memilih makanan yang telah diproses seperti makanan dalam tin dan makanan ringan.

Hal ini kerana biasanya makanan yang sudah diproses mengandungi gula dan garam yang berlebihan di samping kandungan lemaknya yang tinggi. Selain itu, makanan tersebut selalunya mengandungi bahan pengawet dan perwarna tambahan yang boleh memudaratkan kesihatan.

PILIH MAKANAN PANAS

Anda perlu elakkan daripada makan makanan yang terdedah seperti yang banyak dijual di kedai-kedai makan. Walau bagaimanapun, jika makanan tersebut disediakan ketika itu dan masih panas, anda bolehlah menikmatinya. Makanan yang terdedah sangatlah dilarang kerana dibimbangkan mengandungi bakteria yang boleh menjangkiti bayi seterusnya membahayakan kesihatan mereka.

 

KEJU TIDAK DIPASTEUR BAHAYA

Pengambilan keju sememangnya baik untuk pembentukan tulang dan gigi. Walau bagaimanapun, anda perlulah berhati-hati ketika mengambilnya lebih-lebih lagi semasa berbadan dua. Oleh itu, pastikan anda tidak makan keju yang diperbuat daripada susu serta hasil tenusu lain yang tidak dipasteur kerana boleh membahayakan.

 

ELAKKAN ALKOHOL & KAFEIN

Selain makanan, minuman pun perlu diambil berat. Sebaik-baiknya janagan ambil sebarang minuman beralkohol ketika hamil.

Hal ini kerana sebarang bentuk minuman alkohol yang anda minum ketika hamil akan masuk ke dalam darah bayi melalui plasenta dan seterusnya akan memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Kafein yang terkandung dalam kopi, teh dan minuman coklat juga tidak sihat untuk tubuh terutamanya kepada sistem penghadaman.

Oleh itu, semasa hamil anda perlulah mengurangkan pengambilannya. Amat baik jika anda boleh elakkan pengambilannya sepanjang tempoh 40 minggu kehamilan. Sebagai ganti, minumlah minuman lain yang lebih berkhasiat seperti jus buah-buahan. Koktel buah-buahan juga banyak khasiatnya selain daripada menghilangkan dahaga.