Sebelum bersalin, anda perlu memilih lokasi di mana anda mahu bersalin. Anda boleh memilih sama ada untuk bersalin di hospital kerajaan atau hospital swasta.
Pilih seseorang yang boleh menemani anda ketika berada di dalam bilik bersalin. Mungkin suami, ibu, adik beradik atau sesiapa sahaja yang anda rasakan senang dan mampu membantu dan menemani di saat anda perlukan.
Anda boleh membuat pilihan kaedah bersalin. Pilihan ini bergantung kehendak dan kemampuan anda. Antara pilihan yang diberikan adalah kelahiran secara normal, pembedahan atau menggunakan teknologi terkini seperti Roma Birthwheel yang boleh mengurangkan rasa sakit ketika bersalin.
Roma Birthwheel
Pastikan kaedah yang anda pilih ada di hospital yang berdekat. Misalnya, jika anda memilih untuk bersalin menggunakan Roma Birthwheel, Hospital Ampang Puteri adalah destinasi tujuan anda. Hal ini kerana, di Malaysia hanya Hospital Ampang Puteri sahaja yang memiliki alat tersebut.
Alat ini diakui dapat mengurangkan kesakitan dan dalam masa yang sama mempercepatkan kelahiran. Walau bagaimanapun, kaedah yang mula diperkenalkan sejak September 1999 itu hanya boleh digunakan oleh ibu hamil yang tidak mempunyai sebarang masalah semasa hamil seterusnya ketika bersalin. Alat yang berasal daripada Switzerland ini istimewa kerana membolehkan pesakit mengawalnya mengikut keselesaan.
Ceasarean
Selain bersalin menggunakan Roma Birthwheel, cara lain yang sering menjadi pilihan sesetengah ibu hamil ialah melalui kaedah pembedahan Ceasarean.
Ibu-ibu ini memilih pembedahan Ceasarean kerana mereka boleh tentukan sendiri tarikh untuk bersalin dan masa yang diperlukan tidaklah terlalu lama berbanding melahirkan secara normal. Walau bagaimanapun, bukan semua ibu sukakan kaedah ini. Mereka terpaksa melahirkan anak menggunakan kaedah ini akibat pelbagai komplikasi yang dihadapi sewaktu ingin melahirkan seperti bayi songsang, pintu rahim tidak terbuka atau masalah tekanan darah tinggi.
Bersalin Dalam Air
Satu lagi cara melahirkan yang banyak digunakan di luar negara dan tidak di Malaysia ialah melahirkan anak di dalam air. Cara ini memerlukan ibu berada di dalam tab mandi yang berisi air. Suhu air yang suam memberikan kesegaran dan keselesaan pada ibu yang sedang menahan kesakitan akibat kontraksi. Ketika ini jururawat akan sentiasa berada di sisi si ibu supaya anak yang bakal lahir dapat ditarik segera sebaik sahaja mereka keluar.
Cara Konvensional
Diakui, kini telah wujud pelbagai kaedah moden dan canggih agar proses kelahiran tambah selesa dan mudah, cara konvensional tetap menjadi pilihan ibu-ibu terutamanya di Malaysia. Kaedah konvensional ini memerlukan si ibu baring menelentang dengan kedua-dua belah kakinya dibuka seluas-luasnya.
Proses bersalin cara ini berlaku secara semula jadi. Dan cara inilah yang paling biasa dilakukan di hospital sama ada hospital kerajaan mahupun swasta. Untuk merealisasikan cara ini dan agar si ibu lebih selesa, katil khas disediakan.
Katil ini biasanya disertakan sekali dengan besi penyokong kaki dan tali untuk membantu ibu ketika meneran. Walau bagaimanapun, anda perlu perhatikan dahulu hospital atau klinik di mana anda ingin bersalin dan tanyakan mereka tentang perkhidmatan yang boleh mereka berikan. Kemudian barulah anda boleh membuat keputusan.
Jika anda ingin melahirkan si kecil secara normal, anda mempunyai pilihan sama ada ingin melakukan episiotomi (memotong sedikit bahagian antara vagina dan anus atau disebut perinium) untuk memudahkan bayi keluar. Jika anda mampu bertahan, anda boleh biarkan perinium terkoyak secara semula jadi.
Ada orang dapat menahan sakit ketika hendak bersalin. Namun, ada juga yang sebaliknya. Jika anda salah seorang daripada ibu hamil yang tidak dapat menahan sakit, pilih ubat penahan sakit khusus yang digunakan ketika sedang menjalani proses kelahiran.
Berbincang dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ubat berkenaan. Sebagai ibu kepada anak yang baru dilahirkan, anda boleh meminta doktor untuk mendakap dahulu si kecil sebelum dibersihkan. Atau anda boleh memeluk dan mencium bayi yang baru lahir itu selepas dibersihkan.
Artikel Berkaitan

Kawal Makanan Bergula & Garam, Elak R...
Ketika memasuki trimester ketiga, banyak kemungkinan berlaku. Pertama anak mungkin dilahirkan ketika masih belum cukup bulan. Kedua, anda mungkin menghadapi beberapa penyakit biasa ketika mengandung iaitu kencing manis dan darah tinggi. Oleh yang demikian, anda perlu tahu keadaan fizikal terkini dan pastikan kesihatan berada di tahap normal. Berikut beberapa perkara yang perlu anda tahu: 1. Kawal makanan bergula, garam dan berkarbohidrat tinggi. Makan makanan yang berkhasiat dan lebihkan pengambilan protein dan serat khususnya sayur-sayuran hijau. Diet yang betul ini dapat…

Payudara Makin Kencang, Sedia Hasilka...
Perut anda semakin hari semakin besar dan tentunya berat semakin bertambah. Antara bahagian yang paling ketara pertambahan beratnya ialah di sekitar dada terutamanya pada bahagian payu dara. Oleh yang demikian, pemakaian baju dalam yang sesuai amatlah penting. Pilihlah saiz pakaian dalam yang lebih besar saiznya daripada biasa. Berikan keselesaan yang maksimum kepada anda untuk bergerak dengan bebas. Elakkan berbaring secara menelentang kerana cara ini akan membuatkan anda rasa tidak selesa dan dalam masa yang sama salur darah anda akan ditekan…