Pada trimester kedua ini, fizikal ibu hamil akan berada dalam keadaan yang paling sempurna. Jadi, mereka bebas untuk bersenam dan salah satu senaman yang digalakkan ialah senaman kegel kerana senaman ini berfungsi untuk menguatkan otot sekitar punggung.

Walaupun fizikal berada dalam keadaan terbaik, emosi ibu hamil kadang kala terganggu. Dan ketika inilah, suami perlu sentiasa ada di sisi untuk redakan tekanan yang dialami.

Untuk pengetahuan semua, pada trimester kedua ini, janin dalam kandungan anda akan mengalami tumbesaran yang begitu pesat.

Masuk sahaja bulan kelima kehamilan, bayi sudah berupaya bergerak dan gerakan tersebut adalah antara pengalaman paling manis buat si ibu. Di trimester kedua ini, walaupun bayi masih baru di dalam rahim, dia sudah berupaya mendengar, melihat, merasa dan memberikan reaksi kepada anda.

Bagi si ibu pula, pertambahan berat badan secara drastik bukanlah satu yang mustahil. Lebih-lebih lagi ketika usia kehamilan telah pun memasuki trimester kedua.

Peningkatan jumlah darah dalam badan, payudara yang semakin membesar, pertambahan cairan ketuban, pembesaran rahim dan uri, tumbesaran bayi adalah antara beberapa faktor yang menjadikan ibu hamil semakin berat dari hari ke hari.

Biasanya berat badan akan bertambah sebanyak kira-kira 13 kilogram sepanjang tempoh kehamilan. Dalam masa yang sama, jantung ibu juga mulai berdegup dengan lebih cepat dan kuat kerana perlu mengepam darah dalam kuantiti yang banyak.