Hormon memainkan peranan penting sepanjang kehamilan dan kelahiran. Antara hormon yang sering kali dikaitkan dengan wanita hamil ialah ovari (awal kehamilan) dan plasenta yang berkembang di sekitar minggu 12. Hormon-hormon ini membantu ini janin berkembang dan bertanggung jawab kepada perubahan-perubahan yang berlaku kepada payu dara dan tubuh anda.

Selain daripada itu, peranan hormon ialah memastikan kelahiran berlaku pada waktu yang sepatutnya. Dalam pada itu, perlu anda ketahui, hormon yang dikenali sebagai human chorionic gonadotrophin (HCG) wujud di dalam tubuh anda sejak daripada 12 minggu pertama kehamilan anda lagi.

Hormon inilah yang menentukan perubahan emosi yang sering kali berlaku kepada wanita hamil. Antara lain, hormon ini berkait rapat dengan keletihan, loya dan muntah.

 

HORMON DAN EMOSI

Kehamilan boleh menimbulkan pelbagai jenis emosi. Anda boleh jadi seorang yang periang (terutamanya selepas mendapat khabar berita gembira kehamilan) dan kadang kala berubah menjadi murung. Perubahan emosi yang berlaku adalah sesuatu yang biasa.

Ini kerana hidup anda tidak lagi sama seperti kehidupan yang anda lalui sebelum hamil dahulu. Anda tentu perasan bahawa ketika ini anda mula risau tentang tanggungjawab yang bakal dipikul dan persediaan yang perlu dilakukan sebelum bergelar ibu.

 

BANYAKKAN BERBINCANG & KONGSI KEBIMBANGAN

Bukan itu sahaja, mood anda boleh berubah bila-bila masa sahaja sehingga adakalanya mengganggu hubungan anda dan orang di sekitar anda terutamanya suami sendiri.

Jadi, adalah penting untuk anda berbincang antara satu sama lain. Dengan yang demikian, hasil perbincangan tersebut mungkin dapat meredakan situasi yang “panas”. Anda boleh menyuarakan perasaan yang anda lalui sekaligus berkongsi kebimbangan yang anda rasakan.