Rasa sakit dan tidak selesa ketika hamil adalah perkara biasa. Semua itu terjadi akibat perubahan hormone. Tetapi ibu perlulah ambil berat terhadap beberapa simptomnya.

Masuk sahaja minggu 21 kehamilan, ibu-ibu mula berhadapan dengan beberapa masalah kesihatan. Antara yang sering mengganggu ialah masalah pedih ulu hati, insomnia, ruam, bengkak-bengkak pada bahagian tertentu badan dan keletihan.

 

PEDIH ULU HATI : Ibu hamil yang berhadapan dengan masalah pedih ulu hati akan rasa sakit kuat pada bahagian tengah dada. Masalah ini semakin kerap pada peringkat akhir kehamilan. Biasanya keadaan tambah teruk apabila baring. Agar masalah ini tidak menjadi lebih kronik, tinggikan bantal anda ketika tidur. Cara ini berupaya meredakan kesakitan yang dialami. Selain itu, minumlah segelas susu sebelum tidur dapat membantu anda menangani masalah ketidakselesaan. Dalam masa yang sama, makanan yang pedas dan berlemak perlu dielakkan.

INSOMNIA : Setelah perut semakin membesar dan berat badan bertambah dengan banyak, ramai ibu hamil mula rasa tidak selesa. Ketika ini bayi dalam kandungan juga semakin aktif dan terlalu banyak bergerak. Lebih memburukkan lagi keadaan ialah kekerapan ke tandas. Akibatnya ibu hamil di peringkat ini sukar untuk tidur. Malah, ada sesetengah mereka turut mengalami mimpi-mimpi buruk berkaitan bayi dalam kandungan. Jika anda berhadapan dengan masalah ini, janganlah rasa tertekan. Sebaliknya, anda perlu fikirkan yang positif. Isi masa lapang yang ada dengan aktiviti berfaedah. Antaranya ialah seperti membaca, melakukan senaman ringan ataupun mandi air panas sebelum tidur. Selain itu, semasa tidur letakkanlah bantal pada bawah perut anda untuk keselesaan.

RUAM : Biasanya ruam terjadi kepada wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dan yang sering berpeluh. Antara kawasan yang sering timbul ruam ialah di bahagian bawah payu dara atau di sekitar pelipat-pelipat badan. Bagi yang menghadapi masalah ini, mereka perlulah sentiasa bersih dan keringkan bahagian tersebut agar tidak berpeluh. Ingat gunakan bahan pencuci atau sabun tanpa pewangi untuk mengelakkan iritasi tambah buruk. Selain itu, penggunaan losen calamine pun dapat melegakan masalah yang dihadapi. Bagi yang sering berpeluh, pakailah pakaian yang longgar dan diperbuat daripada kain kapas agar badan jadi lebih selesa.

BENGKAK PADA JARI-JEMARI : Bengkak pada jari kaki dan tangan juga pada buku lali adalah lumrah bagi ibu hamil. Hal ini terjadi kerana semasa hamil, badan mengandungi lebih banyak air daripada biasa. Walau bagaimanapun, masalah ini tidak perlu dirisaukan. Bengkak biasanya semakin ketara ketika cuaca panas dan setelah berdiri lama. Tapi, ibu yang mengalami masalah ini tidak akan rasa sakit. Malah, ada yang tidak sedar jari-jemari mereka membengkak. Cuma, mereka akan sedar apabila cincin yang dipakai sudah semakin ketat dan begitu juga dengan kasut yang sudah semakin sempit. Untuk atasi masalah ini, cuba lakukan senaman kaki yang ringan terutama ketika berdiri lama. Juga, semasa berehat, tinggikan bahagian kaki. Dan sekiranya masalah ini terlalu merunsingkan anda, jumpalah doktor kerana pada kebiasaannya bengkak yang keterlaluan ada kaitannya dengan praeklampsia atau dikenali sebagai tekanan darah tinggi awal.

KELETIHAN : Akibat pertambahan berat badan, ibu hamil mudah rasa penat terutamanya pada minggu terakhir kehamilan. Oleh yang demikian, rehat yang cukup sangat penting. Pada masa yang sama, kurangkan aktiviti yang memenatkan dan tidur awal pada waktu malam. Kepada ibu yang mengalami masalah ini, makanlah makanan yang banyak mengandungi zat besi seperti sayuran berdaun hijau, kekacang dan daging merah yang tidak berlemak.