Pengalaman menyusukan si kecil buat pertama kalinya adalah detik pengalaman terindah dalam hidup ibu. Jadi awal-awal bakal ibu harus tetapkan pada minda untuk menyusukan anak. Sentiasa berfikiran positif untuk menempuh harinya.

Menurut Journal Of The American Medical Association (Jama), bayi yang minum susu ibu akan memiliki IQ lebih tinggi berbanding bayi lain.

Inilah masa yang sesuai untuk anda mula fikirkan tentang kaedah penyusuan buat bayi yang bakal lahir. Sama ada anda akan memberi anak minum susu badan ataupun formula, terpulanglah. Akan tetapi, sebagai ibu bapa, kita memang sentiasa inginkan hanya yang terbaik untuk anak. Dan yang terbaikĀ  untuk anak hanyalah susu ibu.

Salah satu sebab mengapa susu ibu baik untuk bayi ialah kandungan gizinya. Susu ibu kaya dengan air, protein, karbohidrat dan zat galian. Kesemua sumber pemakanan ini yang sangat lengkap sehinggakan bayi tidak perlukan makanan tambahan untuk tempoh enam bulan pertama kelahiran mereka.

Selain kaya dengan kandungan nutriennya, susu ibu juga mengandungi sel-sel hidup yang berfungsi untuk membantu pertumbuhan otak manusia. Antibodi yang terkandung di dalamnya juga sangat baik untuk mencegah jangkitan penyakit sekali gus menjaga kesihatan bayi.

Hasil daripada satu kajian terkini yang telah dijalankan di Chicago mendapati jika seseorang bayinya minum susu ibu secara eksklusif untuk tempoh enam hingga sembilan bulan, mereka akan memiliki IQ yang tinggi. Diakui ramai ibu khuatir tentang kuantiti susu yang mereka ada.

Adakah cukup untuk menampung keperluan bayi ataupun tidak? Ketahuilah bahawa dengan pengurusan laktasi yang baik, pengeluaran susu ibu cukup untuk menampung keperluan bayi sehingga mereka berusia enam bulan.

Oleh sebab itulah, WHO (Badan Kesihatan Dunia) dan UNICEF (Dana PBB Untuk Kanak-Kanak) menyarankan agar susu ibu diberikan secara eksklusif untuk tempoh tersebut.