Tempoh masa melahirkan dibahagikan kepada tiga tahap. Jika bakal ibu belum pernah ada pengalaman bersalin, proses bersalin akan berlaku dalam jangka masa 12 hingga 16 jam. Manakala ibu yang sudah berpengalaman hanya mengambil masa kurang 12 jam.

TAHAP PERTAMA

Tahap pertama proses kelahiran bermula:

Rasa sakit di bahagian belakang akibat aktiviti pengecutan rahim dan pengembangan serviks. Rasa   sakit ini akan beralih ke hadapan sehingga pada bahagian bawah abdomen (rongga perut).  Keadaan ini berlangsung dalam tempoh tertentu dan   sakit makin bertambah setiap kali di serang kontraksi.

Wujud tanda-tanda atau petunjuk misalnya keluarnya mukus yang bercampur darah dari vagina. Keadaan   ini berlaku disebabkan mukus mulai memenuhi  serviks. Pada tahap ini, bakal ibu disuruh berbaring tanpa diberi makan dan hanya sedikit minuman.  Proses kelahiran diperiksa dengan memerhati keadaan kepala bayi dan bukaan pada pintu rahim.

Dalam masa yang sama, doktor atau bidan bertauliah akan memeriksa jantung janin dan direkodkan selang sejam. Keadaan ibu juga diperiksa. Paras air dalam badan, tekanan darah, tahap kesakitan akan diperiksa dengan teliti. Sekali setiap jam, suhu badan, degupan nadi ibu akan direkodkan juga.

Kesakitan pada tahap pertama tidak teruk. Ia dinamakan sebagai fasa pendam. Anda masih boleh bersembang, membaca, menonton televisyen dan sebagainya. Keadaan ini boleh berlaku selama lapan sehingga sembilan jam. Apabila pengecutan menjadi semakin hebat, serviks akan bertukar menjadi pendek.

Proses menipis serviks ini dinamakan sebagai efasmen serviks. Dalam keadaan ini, serviks menjadi pendek, lembut dan menjadi satu saluran pendek yang dinamakan sebagai serviks matang. Penekanan ke atas serviks ini memaksa saluran serviks terbuka. Situasi ini membuatkan kepala bayi turun ke bahagian pelvis. Namun, lapisan pundi ketuban masih lagi teguh. Apabila kesakitan semakin terasa, ia menandakan kesakitan ke tahap aktif.

Ketika ini, pengecutan rahim menjadi semakin kuat dan bertambah kerap. Serviks terus terbuka dan janin akan menurun. Bagi ibu yang belum pernah bersalin, jumlah bukaan berlaku dengan pantas iaitu dengan kadar satu sm sejam. Manakala, bagi wanita yang pernah bersalin akan membuka serviks 1.5 hingga 2 sm sejam.

Ketika ini ibu akan merasa kemuncak sakit. Namun, ibu masih belum boleh meneran kerana serviks belum terbuka sepenuhnya. Jika ibu tidak dapat menahan sakit, boleh lakukan senaman menahan sakit. Selain itu, anda boleh meminta bius epidural untuk melegakan kesakitan 0cm, 2cm, 6cm dan 10cm.

TAHAP KEDUA

Peringkat ke dua bermula apabila serviks terbuka sepenuhnya dan air ketuban keluar dengan banyak akibat pundi ketuban pecah. Doktor atau bidan akan memerhatikan pundi-pundi kencing anda supaya tidak mengembung dan boleh menghalang kepala janin daripada turun.

Apabila proses pengeluaran janin sedang berlaku, ibu perlu berada di posisi baring (mengikut posisi yang dianggap sesuai) sambil meneran sekuat hati apabila kecutan rahim sampai ke kemuncaknya. Pada ketika ini kepala janin sudah berada pada tahap perinium dan bahagian dubur mulai mengembang. Tugas paling kritikal pada tahap kedua ini adalah mengelak perinium terkoyak.

Perinium

Pengoyakan perinium boleh dielak dengan mencegah kepala bayi keluar pada masa di antara pengecutan rahim. Jika terdapat sebarang tanda bahawa kepala bayi turun terlalu cepat, doktor akan menekannya dengan satu tangan supaya dia tidak terkeluar serta-merta. Sementara tangan sebelah lagi diletakkan di perinium untuk menolong pengeluaran verteks (puncak kepala anak) melalui saluran peranakan. Hal ini adalah untuk mengelakkan kelahiran normal dan membolehkan diameter kepala yang terkecil muncul melalui salur keluar.

TAHAP KETIGA

Tujuan utama dalam peringkat ketiga kelahiran ialah:

  1. Untuk mengeluarkan uri dan selaput ketuban.
  2. Untuk menghentikan pendarahan dan untuk menjamin pengecutan dan penarikan balik rahim dengan sempurna.

Tanda-tanda uri terasing:

  1. Ibu berasa sakit apabila rahim mengecut dengan kuat kerana ruang rahim menjadi kosong.
  2. Sedikit pendarahan daripada faraj.
  3. Tali pusat yang di tarik panjang.
  4. Fundus (bahagian atas) rahim timbul atas pusat.
  5. Bahagian atas tulang simfisis pubis menggelembung.

 

Uri terasing dengan cepat. Lazimnya dua hingga lima minit selepas bayi lahir. Setelah uri terasing dengan lengkap dan terletak longgar di bawah rahim, doktor akan menggunakan sebelah tangan untuk menolak rahim yang mengecut ke arah pusat. Manakala tangan satu lagi akan memegang tali pusat ke atas untuk meringankan berat uri yang keluar.

Bahaya inversi serviks hanya berlaku jika proses penarikan dilakukan sebelum uri betul-betul terasing dengan sepenuhnya pada serviks. Sebaik sahaja uri dikeluarkan, uri dan selaput ketuban akan diperiksa untuk memastikan keadaan sempurna.

Selepas kepala bayi keluar, 0.25 mg ubat ergometrin di suntik untuk mendorong rahim mengecut selepas bayi lahir. Kemudian, diikuti dengan kedua-dua belah bahu dan seterusnya sehingga seluruh badan bayi keluar.