Apabila perut makin besar, ibu akan mula rasa perubahan pada tubuh. Jangan bimbang ia adalah perkara biasa. Keadaan ini akan berterusan sehingga beberapa bulan. Cuma anda kena tahu cara untuk mengatasinya dan cuba dapatkan nasihat doktor.

SAKIT BELAKANG

Masalah ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sepanjang kehamilan anda. Biasanya anda akan mengalami sakit belakang akibat daripada bebanan kandungan yang terpaksa ditanggung. Ketika duduk, berat bayi dalam kandungan membuatkan anda bersandar yang kadang kala memberi tekanan pada otot dan sendi belakang anda. Jadi, cuba elakkan diri daripada mengangkat objek-objek yang berat. Jika terpaksa, angkat objek-objek tersebut tanpa perlu membongkokkan diri. Selain daripada itu anda digalakkan memakai kasut yang selesa, bertumit rendah atau tapaknya rata. Apabila duduk, biasakan diri meletakkan benda-benda seperti kusyen atau bantal kecil di belakang pinggang untuk menyokong tulang belakang.

GUSI BERDARAH

Perubahan hormon sewaktu hamil turut menyebabkan pertumbuhan plak pada gigi. Kadang kala, pertumbuhan plak yang terlalu banyak membuatkan gusi anda mudah berdarah. Oleh yang demikian, adalah penting untuk anda memberi perhatian khusus kepada kebersihan gigi. Salah satu daripada langkah bijak yang boleh anda lakukan ialah mengelakkan makanan manis dan minuman bergula. Selain itu, anda juga perlu lebih rajin mendapatkan rawatan doktor gigi supaya masalah-masalah berkaitan gigi dapat diatasi.
Bagi anda yang sudah terbiasa dengan tabiat buruk ini, adalah lebih baik jika anda bangun secara perlahan-lahan daripada kedudukan duduk ataupun berbaring. Jika anda berdiri terlalu lama pula, duduk dahulu kemudian perlahanperlahan bongkokkan kepala anda hingga paras lutut (seperti rukuk). Oleh yang demikian aliran oksigen dapat sampai ke otak dengan lancar.

KEPUTIHAN

Lelehan faraj yang dialami ketika hamil adalah sesuatu yang biasa jika warnanya masih jernih dan putih. Namun, jika warnanya bertukar kepada kuning ataupun hijau, berbau dan menyebabkan anda berasa sakit, ini mungkin disebabkan oleh jangkitan tertentu. Jadi anda perlu dapatkan rawatan doktor untuk mengatasi masalah ini.

KEKEJANGAN

Anda mungkin mengalami kesakitan secara tiba-tiba di bahagian kaki. Biasanya kekejangan berlaku pada waktu malam. Bagi mengatasi masalah ini, anda bolehlah mengurut lembut bahagian yang kejang. Sehubungan itu, amalan senaman ringan yang konsisten dapat membantu anda menghindarkan diri daripada kekejangan.

SEMBELIT

Hormon berlebihan yang dihasilkan sepanjang kehamilan membuatkan usus tidak berfungsi dengan aktif seperti sebelum anda hamil. Adalah sesuatu yang biasa apabila fungsi usus anda menjadi kurang efisien ketika hamil. Kebanyakan wanita hamil mengalami masalah sebegini terutamanya yang kurang gemar mengambil makanan berserat. Jika anda termasuk dalam golongan ini, anda perlulah memakan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berserat yang lain. Sebagai tambahan, anda mesti minum lebih banyak air agar dapat membantu usus menjalankan tugasnya seperti sedia kala.

PENGSAN

Bagi anda yang selalu berdiri lama dan bangun daripada tidur secara tiba-tiba, anda akan mudah pengsan. Masalah ini berlaku disebabkan oleh kekurangan darah yang dialirkan ke otak. Jika paras oksigen terlalu rendah, anda akan mudah pengsan.

Peringatan

Sebarang perubahan (kesakitan) yang dialami akan membuatkan anda mudah berasa letih. Jadi, anda perlu mengambil peluang merehatkan diri jika ada kesempatan. Selain itu, jika berasa khuatir dengan perubahan-perubahan yang berlaku, segeralah bertemu dengan doktor agar kemusykilan anda dapat dileraikan.