Senaman yang perlu buat ibu hamil ialah senaman lantai pelvik. Untuk pengetahuan anda lantai pelvik merupakan susunan otot-otot yang menyokong usus, pundi kencing dan rahim.

Semasa hamil, otot-otot ini menjadi lembut dan mudah regang. Dan ketika itu, bayi anda semakin berat sehingga menekan otot ini ke bawah. Semua ini akan melemahkan otot dan menyebabkan anda rasa berat dan tidak selesa. Akibatnya, anda akan mudah terkencing semasa batuk, bersin atau ketawa. Untuk mengelakkan masalah ini, anda perlulah menguatkan lantai pelvik dengan senaman.

 

Cara untuk melakukan senaman ialah dengan membayangkan anda sedang menarik sesuatu ke dalam faraj atau ada sesetengah menganggapnya seperti mengemut faraj ketika menahan kencing. Tarik ke dalam perlahan-lahan kemudian berhenti dan tarik semula sehingga anda tidak lagi boleh menarik. Berhenti untuk seketika dan kemudian, lepaskan perlahanlahan. Ulangi aktiviti ini sebanyak sepuluh kali untuk setiap sesi. Agar lantai pelvik anda jadi kuat, lakukanlah senaman ini kerap sekurang-kurangnya tiga atau empat kali sehari.

Apabila telah mahir, anda bolehlah melakukannya pada bila-bila masa sama ada semasa sedang berbaring, duduk ataupun berdiri. Setelah melakukannya dengan bersungguh-sungguh, anda akan dapati senaman ini banyak manfaatnya terutamanya ketika berada di tahap kedua proses kelahiran kerana dengan mengetahui cara mengendurkan otot, anda dapat mengurangkan risiko pengoyakkan pelvik semasa bayi keluar.