Perubahan saiz rahim yang kian membesar akan membuatkan anda rasa teruja melihat perut yang makin membesar. Dalam pada itu, perubahan warna puting turut berlaku. Warna bahagian tersebut berubah menjadi lebih gelap dan urat biru pada payu dara anda mula jelas kelihatan.

Dalam minggu ini, simptom alahan makin berkurangan. Anda akan mula mendapat lebih banyak tenaga dan berasa lebih aktif seperti diri anda yang dulu. Walaupun anda masih mengalami loya dan keletihan, simptom-simptom ini akan berkurang dalam minggu-minggu seterusnya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna anda akan bebas daripada simptom. Salah satu simptom yang mungkin anda alami ialah keputihan bertambah, juga dikenali sebagai leukorrhea. Keputihan anda boleh jadi nipis, berwarna putih dan tidak berbau. Jangan risau!

Ini perkara biasa dan kebiasaannya disebabkan oleh tahap estrogen yang tinggi, satu lagi hormon kehamilan. Dengan peningkatan aliran darah ke kawasan pelvis, peningkatan dalam keputihan berlaku untuk melindungi saluran kelahiran anda daripada jangkitan.

Jika keputihan anda mula berbau dan berubah warna, maklumkan doktor anda dengan segera. Ini boleh menjadi tanda jangkitan.