Bermula daripada saat ini, anda akan menjadi pengunjung setia klinik atau hospital sehinggalah anda melahirkan bayi anda.
Pemeriksaan antenatal pertama anda seharusnya dijalankan pada minggu 8 hingga minggu 12. Pemeriksaan pertama ini biasanya dirujuk kepada hospital yang anda pilih untuk melahirkan anak nanti.

Pada pemeriksaan tersebut, anda akan ditanya dengan pelbagai jenis soalan. Antaranya yang berkaitan soal kesihatan, sejarah perubatan keluarga dan kadang kala menyentuh soal kerjaya anda dan pasangan di samping gaya hidup yang anda dan suami amalkan. Kesemua maklumat yang diperoleh, akan membantu doktor mendapat gambaran tentang kesihatan anda. Kandungan bagi mengesan sebarang risiko yang mungkin ada sejak dari awal lagi.

TEKANAN DARAH
Ujian ini dijalankan setiap kali anda menghadiri pemeriksaan antenatal. Peningkatan tekanan darah boleh menyebabkan masalah darah tinggi. Jika ini terjadi kepada anda, masalah ini akan memberi kesan buruk kepada anda dan kandungan.
Tekanan darah yang normal ialah 120/70 dan akan diberi perhatian sekiranya melebihi 140/90.

Kenaikan tekanan darah boleh menandakan pelbagai masalah termasuk pre-klampsia (tekanan darah tinggi). Namun begitu, tekanan perasaan yang dihadapi disebabkan oleh rutin harian boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Bacaan sewajarnya ditulis di dalam kad lawatan anda.

URIN
Anda akan diminta untuk memberi sampel air kencing setiap kali anda menghadiri pemeriksaan. Air kencing yang diperoleh digunakan untuk mengesan sebarang jangkitan yang memerlukan rawatan rapi.

Ujian ini bertujuan untuk menguji tahap kandungan glukos, protein dan bahan kimia yang dikenali sebagai ketones di dalam badan. Ujian tahap kandungan glukos adalah untuk mengesan diabetes, protein bagi mengenal pasti tekanan darah tinggi manakala ketones pula untuk mengetahui sebarang keganjilan pada buah pinggang anda.

KETINGGIAN
Ketinggian anda akan diambil ketika pertemuan pemeriksaan antenatal yang pertama. Ini kerana ketinggian merupakan gambaran awal kepada saiz pelviks. Jika pelviks anda terlalu kecil untuk memuatkan kepala bayi semasa proses kelahiran nanti, pembedahan caesarean mungkin perlu dilakukan.

UJIAN DARAH
Di pertemuan pemeriksaan pertama, anda akan menjalani ujian darah untuk mengesahkan kumpulan darah dan darah rhesus anda. Darah anda diuji untuk mengetahui sama ada anda mengalami masalah kekurangan darah atau sebaliknya. Ujian tersebut akan mengenal pasti “kekebalan” anda terhadap rubella.

Selain itu, anda juga akan menjalani ujian HIV dan hepatitis B.
Kebanyakan doktor tidak menjalankan ujian toxoplasmosis, walau bagaimanapun jika anda berisiko, anda boleh meminta doktor melakukannya. Beberapa ujian lain yang berkaitan turut dilakukan untuk mengenal pasti sebarang keadaan yang boleh memberi kesan buruk kepada bayi dalam kandungan.

UJIAN SERVIKS
Jika anda masih belum menjalani ujian serviks sejak tiga hingga lima tahun yang lalu, anda akan diminta oleh doktor untuk menjalani rutin ini.

PERGELANGAN KAKI DAN TANGAN
Kedua-dua bahagian ini akan diperiksa pada setiap lawatan pemeriksaan kesihatan. Ini bertujuan untuk mengesan bengkakan yang disebabkan oleh pengumpulan air. Jika bahagian tersebut didapati bengkak, anda berkemungkinan mengalami masalah tekanan darah tinggi.

PALPATION
Rutin ini dilakukan dengan menekan abdomen bagi memeriksa bahagian atas rahim (fundus). Kemudian, doktor akan memeriksa bahagian pelviks untuk memeriksa saiz fetus dan kedudukannya.

BERAT BADAN
Berat badan anda akan dipantau secara tetap untuk mengetahui keadaan bayi di dalam kandungan. Biasanya ibu hamil akan bertambah berat badannya antara 11 kg hingga 16 kg sepanjang hamil. Namun begitu, peningkatan berat badan secara mendadak merupakan tanda-tanda awal anda mengalami tekanan darah tinggi.

KESAN GBS +VE PADA BAYI
GBS ataupun Group B Streprococcus ialah bakteria yang paling biasa menyebabkan jangkitan kuman seluruh badaniaitu kuman dalam darah. GBS adalah bakteria yang kebiasaannya ditemui di bahagian vagina dan dubur kebanyakkan wanita hamil. Kuman ini tidak menjejaskan ibu. Tetapi boleh menjangkiti bayi yang baru dilahirkan.

Bayi yang dijangkiti kuman ini akan diberikan penisilin untuk membersihkan darahnya. Bayi tersebut turut diberi rawatan rapi supaya semua organnya dapat berfungsi dengan baik sehinggalah semua kuman dapat dibunuh dalam sistem tubuhnya. Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu hendaklah memastikan suhu badan bayi tidak meningkat. Jika hal itu berlaku, segeralah berjumpa doktor