Hampir semua ibu hamil akan mengalami masalah yang sama. Ada yang tidak lagi mempunyai tenaga yang banyak untuk berjalan lebih lama dan lebih jauh dan ada yang mempunyai perubahan pada kulit. Ini simptom biasa yang akan dialami ibu-ibu hamil. Namun, jangan ambil mudah jika gusi berdarah kerana ia mungkin menjejaskan bayi dalam kandungan.

1. Vericose veins adalah masalah biasa bagi ibu hamil. Vericose veins terjadi akibat kegagalan darah yang berada di bahagian kaki untuk kembali ke jantung mengikut kadar biasa. Ibu hamil yang mengalami masalah ini akan rasa tidak selesa jika berdiri lama.

2.  Mengalami perubahan kulit. Peningkatan pigmentasi kulit adalah perkara biasa. Bintik-bintik pada muka seperti tahi lalat, parut atau jeragat akan menjadi lebih gelap dan besar. Oleh yang demikian, penjagaan rapi perlulah dilakukan untuk mengelakkan keadaan tambah buruk. Antara yang perlu dielakkan ialah cahaya mata hari.

3. Gusi berdarah ialah antara masalah yang biasa dialami wanita hamil. Apabila mengandung, perubahan paras hormon estrogen dan progesteron meningkat. Peningkatan paras hormon-hormon ini mengakibatkan kesihatan gusi terjejas di mana pengumpulan plak (sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gusi dan gigi akibat daripada tidak memberus gigi dengan berkesan) menyebabkan keradangan gusi (gingivitis). Jika tidak dirawat, penyakit ini akan menjadi peringkat yang lebih serius iaitu periodontitis.
Penyakit Gusi dan Risiko untuk melahirkan bayi pra-matang dan bayi kurang berat.

Kajian menunjukkan wanita mengandung mungkin terdedah kepada risiko-risiko seperti melahirkan bayi pra-matang (bayi tidak cukup bulan) iaitu melahirkan anak sebelum minggu ke 37 kandungan dan berat bayi lebih rendah daripada normal/kebiasaan. Ini mungkin terjadi daripada jangkitan bakteria yang memasuki ke dalam aliran darah melalui gusi dan bergerak ke dalam rahim. Setibanya di rahim, bakteria ini akan menyebabkan pengeluaran sejenis bahan perantara kimia iaitu prostaglandin yang mempercepatkan pengecutan rahim dan kelahiran bayi pada masa yang lebih awal dari yang sepatutnya.