Sepanjang kehamilan, bukan sahaja berlaku perubahan pada fizikal ibu hamil. Sebaliknya, keseluruhan kehidupan ibu hamil berubah termasuk emosinya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh. Perubahan tersebut membuatkan emosi ibu kadangkala terganggu. Ada masanya ibu berasa gembira, tenang dan bahagia. Tetapi, ada juga ketikanya ibu akan berasa sedih dan mengalami tekanan perasaan tanpa
diketahui puncanya.

Perasaan ini timbul kerana ibu hamil tidak boleh menerima atau memahami perubahan-perubahan yang berlaku. Misalnya, kebanyakan ibu hamil terkejut dengan perubahan fizikal mereka. Mungkin dahulu mereka mempunyai bentuk tubuh yang menarik tetapi kini tidak lagi.

Dalam menjalani kehidupan sebagai ibu hamil, soal seks bersama suami menjadi sensitif. Mereka lebih sensitif. Biasanya mereka mempunyai keinginan yang lebih pada perhubungan seks, sementara ada yang tidak mahu langsung melakukan hubungan seks. Keadaan ini boleh mengelirukan suami.

Selain itu, ketika hampir hari untuk bersalin ibu mudah bermimpi atau membayangkan tentang masa depannya, sama ada perkara buruk atau baik. Mereka akan membayangkan wajah bayi yang akan dilahirkan, atau memikirkan apa yang bakal berlaku sekiranya proses kelahiran tidak berjaya dan menyebabkan dirinya menemui ajal.

Siapa yang mahu menjaga anaknya ini? Dan banyak lagi persoalan yang bakal timbul. Membayangkan satu-satu perkara itu tidak menjadi salah. Tetapi ingat, jangan terlalu emosi sehingga membuat anda hilang pertimbangan dan kurang keyakinan diri.