Minggu ke 31 membuatkan kehidupan anda semakin tidak selesa. Banyak gangguan dan rasa tidak selesa berlaku. Selain penat melampau, tidur yang terganggu dan payudara yang semakin menegang, kontraksi awal juga menjadi gangguan dan tanda tanya buat anda.

Braxton Hicks
Jangan sangka tidak akan berlaku kontraksi walaupun tarikh jangkaan bersalin 9 minggu lagi. Hal ini kerana, trimester ke tiga, anda sudah boleh merasa kontraksi awal (tidak terlalu sakit) secara beransur-ansur.

Keadaan ini dinamakan sebagai kontraksi Braxton Hicks yang mana kontraksi berlaku akibat bayi dalam perut mula mengeras untuk menguatkan ototnya. Ia boleh berlaku dalam jangkauan masa 20 minit sekali.

Semakin hampir masa ingin bersalin, jangkauan masa akan menjadi lebih singkat. Jika kontraksi berlaku terlalu panjang dan kerap, ini bermakna serviks anda mulai terbuka dan hanya menunggu masa untuk bersalin.

Kira Pergerakan Bayi
Selain merasa kekejangan pada perut, anda juga dapat merasai pergerakan dan tendangan bayi lebih kuat dan kerap. Semakin besar bayi, semakin kuat pergerakan anda rasakan. Lazimnya, bayi yang sihat akan bergerak 10 kali sehari.

Oleh yang demikian, anda digalakkan membuat carta dengan mengira pergerakan setiap hari. Sekiranya catatan pada carta yang anda lakukan itu menunjukkan jumlah gerakan bayi semakin mengurang, ini bermakna terdapat masalah yang berlaku. Jadi, cepat-cepat berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Jangan berlengah atau menunggu hari esok.

Detik-detik yang anda lalui ketika trimester ketiga semakin menyukarkan. Kini anda mudah letih sehingga anda rasa ingin tidur selalu walaupun pada waktu siang. Masalah ini disebabkan bebanan badan mulai bertambah dan fikiran anda mula terganggu akibat kerisauan menanti hari kelahiran.

Oleh yang demikian, pastikan anda tidur pada waktu malam secukupnya dan banyakkan berehat. Jangan lakukan terlalu kerja khususnya yang melibatkan aktiviti fizikal.