Memilih untuk travel dengan menaiki kapal terbang di saat akhir kehamilan bukanlah satu tindakan yang wajar dilakukan. Ketika kandungan memasuki minggu ke 30, anda tidak digalakkan berjalan jauh terutama jika perjalanan itu mengambil masa berjam-jam untuk sampai.

Malah penerbangan yang panjang dan terlalu lama juga boleh memudaratkan ibu hamil. Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, maka sebaik-baiknya anda membuat perancangan dan memulakan perjalanan pada trimester kedua sahaja berbanding dihujung kehamilan.

Menaiki pesawat ke destinasi pilihan ketika usia kandungan melebihi minggu 28 adalah tidak digalakkan. Hal ini disebabkan, bayi di dalam kandungan di usia ini boleh keluar pada bila-bila masa. Jadi, untuk memastikan anda dan anak selamat, adalah lebih baik tidak menaiki pesawat.

Hal ini bukan sahaja disebabkan oleh kemungkinan terjadi kes bersalin dalam pesawat, tetapi disebabkan masalah tekanan udara dalam kabin yang boleh menyebabkan darah dalam saluran vena beku.

Oleh yang demikian, setiap kali merancang ingin berjalan jauh, pastikan beberapa perkara yang melibatkan keselamatan dan kesihatan diperhatikan dengan serius. Jika boleh, minta nasihat daripada doktor tentang hasrat anda itu dan cuba cari penyelesaiannya.

Pilih sahaja percutian yang berdekatan tanpa menaiki pesawat. Ini sewajarnya dilakukan ibu. Namun jika perlu, dapatkan surat doktor sebagai persediaan awal untuk diberikan kepada pihak berwajib.