Trimester kedua adalah waktu paling stabil ketika hamil. Anda semakin sihat, meskipun masih ada ketidakselesaan yang kecil namun rata-rata wanita hamil rasa bersemangat dan aktif.

Jangan berlebihan dalam apa jua perkara kerana anda sedang hamil. Ada aktiviti yang perlu difikirkan beberapa kali sebelum melakukannnya dan ada aktiviti yang perlu dijauhi ketika ini. Beberapa aktiviti yang digalakkan atau tidak digalakkan untuk dilakukan oleh wanita hamil.

* Mengangkat barang berat

Tidak kira sama ada mengalihkan sebuah kotak, mengangkat beg membeli belah atau mendukung anak, tiada satu pun yang bagus semasa hamil. Regangan pada perut yang semakin membesar akan terus menarik otot dan ligamen hingga ke hadnya.

Walaupun anda yakin masih mampu mengangkat sendiri barang-barang yang berat tanpa bantuan tetapi jika terus memaksa anda sebenarnya mencari masalah. Seeloknya biarlah kerja-kerja mengangkat barang berat dilakukan oleh suami atau pembantu. Ia juga masa yang sesuai untuk memberitahu anak anda yang dia perlu mengurangkan tabiat minta didukung kerana adik di dalam perut ibu pasti akan berasa sakit.

Sekiranya perlu juga mengangkat sesuatu barang yang agak berat, duduk mencangkung dan perlahan-lahan bangun sambil mengangkat barang tersebut.

* Melancong
Melakukan aktiviti melancong semasa anda hamil trimester kedua adalah saat paling menyeronokkan. Semasa trimester pertama, anda perlu mengelakkan daripada berjalan jauh kerana tubuh badan sedang melakukan penyesuaian kehamilan dan mudah mendapat risiko keguguran.

Sementara trimester ketiga pula, pergi melancong hanya akan membuatkan anda kurang selesa. Anda juga dinasihatkan agar mengelakkan daripada berjalan jauh kerana ia mungkin hanya akan membuatkan anda bersalin awal dari sepatutnya.
Sebaliknya ketika trimester kedua, anda berasa lebih bertenaga dan bersemangat. Apapun, pastikan anda mendapat nasihat daripada doktor untuk memastikan keadaan kesihatan sesuai untuk melancong ke destinasi pilihan.

Sekiaranya anda merancang pergi melancong ke luar negara, periksa dengan syarikat penerbangan mengenai peraturan terhadap wanita hamil. Selain itu untuk keselesaan minta tempat duduk berhampiran lorong kerana memudahkan anda meluruskan kaki bagi mengelakkan kekejangan jika duduk terlalu lama.

Banyak minum air masak selain bawa snek berkhasiat sebagai kudapan dan pastikan anda kerap bergerak sebanyak mana yang diperlukan.

 

*Bersenam

Senaman ketika trimester kedua kehamilan tidak kurang penting untuk mengekalkan tahap tenaga selain membantu anda tidur lena di waktu malam. Kunci utama untuk terus bersenam semasa hamil iaitu lakukan dengan perlahan dan secara bertenang.

Anda perlu mulakan dengan memanaskan badan, bersenam, berhenti jika terasa sesak nafas atau kesakitan, dan perlahan-lahan hentikan senaman. Sebaiknya dapatkan nasihat darpada doktor anda sebelum memulakan sebarang senaman walaupun sebelum ini anda seorang yang aktif melakukan senaman.