Demam ketika hamil mungkin hanyalah masalah biasa tetapi tidak boleh diremahkan apatah lagi jika ibu hamil mengalami demam tinggi. Bukan sebarangan ubat boleh dimakan ibu hamil.  Apakah demam tinggi ketika hamil membahayakan bayi dalam kandungan?

Demam ringan di bawah 38 darjah Celcius umumnya tidak menimbulkan kebimbangan dan biasanya tidak akan memberi kesan pada kehamilan. Namun, demam yang lebih tinggi dari itu boleh menjadi serius.

Ibu mungkin akan merasa tidak selesa ketika demam, suhu badan tinggi, berpeluh, kadangkala menggigil, sakit kepala, sakit otot, keletihan dan adakalanya mengalami dehidrasi.

Ibu hamil dan bayi dalam kandungannya mungkin berisiko mengalami komplikasi serius dari demam yang tinggi. Demam tinggi meningkatkan risiko kelahiran cacat, kelainanan jantung atau keguguran pada awal kehamilan. Semakin tinggi demam dan semakin lama demam, semakin tinggi risikonya.

Selain itu, sebuah kajian yang diterbitkan dalam Journal Molecular Psychiatry, melaporkan bahawa jangkitan pada kehamilan dan tindak balas sistem kekebalan tubuh yang terjadi ketika itu,mungkin dapat meningkatkan risiko autisme.

Ibu dapat merawat demam dengan banyak minum air masak dan berehat secukupnya. Elakkan memakai selimut sepanjang masa kerana ia akan membuatkan anda berpeluh lebih banyak dan terlalu panas, ia tidak bagus untuk kesihatan bayi dalam kandungan.

Ibu boleh makan ubat paracetamol tetapi sebaiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Elak mengambil ubat non steroid antiinflamasi (NSAID) seperti ibuprofen atau aspirin, untuk meredakan demam. Obat NSAID dapat menembusi plasenta sehingga boleh membahayakan bayi, serta dapat mempengaruhi sistem kardiovaskular (jantung) bayi di kemudian hari.

Sekiranya ibu tidak mahu mengambil ubat, cuba melakukan beberapa cara ini.

  • Berbaring dan letak kain basah pada dahi.
  • Mandi air suam. Elakkan mandi dengan air sejuk kerana ia akan membuatkan anda menggigil seterusnya boleh meningkatkan lagi demam.
  • Minum banyak air supaya badan tetap terhidrasi dengan baik dan dapat membantu menyejukkan badan.
  • Pastikan pengaliran udara di rumah berjalan lancar supaya ibu tidak kepanasan.
  • Elak pakai pakaian yang terlalu tebal.