Memasuki minggu ke 26, semakin banyak persediaan yang ibu perlu lakukan. Selain menyediakan mental dan fizikal, mempersiapkan diri dengan menambah ilmu pengetahuan mengenai kelahiran amatlah disarankan.

Bersedia untuk berhadapan dengan proses kelahiran adalah perlu terutamanya bagi yang baru pertama kali menimang cahaya mata. Salah satunyalah dengan mengikuti kelas antenatal yang sememangnya baik untuk menambah pelbagai ilmu mengenai selok belok kelahiran bayi.

Inilah waktu yang sesuai untuk anda dan suami mulakan kelas keibubapaan. Kelas antenatal ini biasanya dijalankan di kebanyakan hospital di Malaysia terutamanya di hospital-hospital swasta.

Pelajari Teknik Pernafasan
Dalam kelas ini, anda akan diajar pelbagai teknik seperti teknik pernafasan, teknik berehat dan beberapa posisi yang boleh digunakan untuk bersalin. Teknik pernafasan perlu dipelajari kerana semasa berhadapan dengan proses kelahiran, bernafas dengan betul sangat penting. Inilah sebabnya mengapa teknik pernafasan diajar di dalam kelas tersebut.

Biasanya, untuk berlatih teknik ini, anda perlu bernafas dalam beberapa tahap yang berbeza bersama pasangan ataupun seorang rakan. Untuk pengetahuan anda, teknik pernafasan ini akan membantu anda ketika mengalami kontraksi kelak.

Pada masa itu, tarik nafas masuk dan keluar dari mulut anda. Cara ini dilakukan agar udara dapat masuk ke bahagian atas paru-paru anda. Ketika ini pasangan ataupun rakan sepatutnya meletakkan tangan mereka pada tulang belikat dan rasakan pergerakan tulang tersebut.

Semoga ibu dapat mempelajari teknik pernafasan dengan tepat ketika mengalami kontraksi. Teknik pernafasan yang tepat sangat membantu meredakan sakit yang tidak terkawal.