Tahniah! Ahli keluarga anda kian bertambah. Kehadiran cahaya mata baru pastinya mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang anda dan suami. Biarpun bayi anda dilahirkan awal dari jangkaan, tidak mengapa. Teknologi perubatan moden boleh membantu bayi anda agar dapat membesar sama seperti bayi yang lahir normal.

 

Biasanya, bayi pramatang dilahirkan kurang daripada 37 minggu kehamilan. Bayi ini, perlu dirawat secara intensif di hospital. Ini kerana purata 60-70 peratus bayi pramatang meninggal dunia pada minggu kelahiran yang pertama. Mereka terdedah kepada risiko yang tinggi terhadap pelbagai jenis penyakit sepanjang beberapa hari pertama kehidupan dan juga pada jangka masa yang panjang.

Bayi pramatang memerlukan rawatan khas berbanding bayi yang lahir normal. Bayi mungkin dirawat dalam tempoh jangka masa beberapa hari atau minggu. Sepanjang tempoh rawatan, tahap kesihatan bayi akan dipantau secara berterusan di dalam inkubator.

Kebanyakan bayi pramatang akan dijaga di unit jagaan rapi atau jika terlalu sakit atau terlalu kecil akan diletakkan di bawah unit jagaan intensif (NICU). Apabila doktor mengesahkan bahawa paru-paru bayi anda benar-benar matang, dia sudah mampu bernafas dengan baik, boleh menyusu dengan sendiri dan mengekalkan suhu badan normal, barulah bayi anda dibenarkan pulang ke rumah.