Diam tak diam anda sudahpun memasuki minggu ke 30 dengan jayanya. Bagi bakal ibu yang mengalami pelbagai masalah seperti sembelit dan sebagainya, ada baiknya anda gandakan aktiviti di siang hari supaya membantu proses pembuangan dengan jayanya.

Pada minggu ke 30 juga, anda akan cepat merasa letih kerana keadaan perut yang semakin membesar. Jika berjalan terlalu laju anda akan mudah merasa lelah. Kawal jalan yang lebih tepat. Jalan perlahan tidak mengapa, asalkan anda tidak cepat keletihan sepanjang hari.

Dalam minggu-minggu ini, penting untuk anda menjaga posisi tidur. Bukan itu sahaja malah tidur pada waktu malam juga mungkin akan terganggu. Cari keselesaan ketika waktu tidur dengan mencari posisi yang paling selesa buat anda. Pastikan anda cukup tidur untuk menempuh hari yang panjang dengan rehat mencukupi.

Tip yang boleh dikongsikan untuk mendapatkan tidur berkualiti adalah dengan beberapa tip ini:
* Pilih bunyi-bunyian alam ketika hendak tidur. Bunyi deruan air terjun, ombak, unggas rimba membuatkan tidur anda lebih cepat dan berkualiti. Malah bunyi-bunyian ini menjadi pendinding untuk anda menerima bunyi-bunyian lain yang mengganggu tidur.

* Jangan biarkan perut berlapar ketika waktu malam. Sebelum tidur pastikan ambil segelas susu dan beberapa keping roti untuk perut lebih kenyang. Biarkan anda tidur dengan lebih selesa.

* Jika minyak dan haruman essential oil mampu membantu anda, letakkan dan sapukan pada diri anda untuk menenangkan ketika waktu tidur. Pastikan tidur anda menjadi lebih berkualiti.

* Pastikan anda ke tandas terlebih dahulu sebelum anda terganggu dengan ‘permintaan kecil’ ini ketika waktu tengah malam.

Berat Bayi 1.1kg
Bayi di dalam kandungan juga semakin baik. Bayi anda kini sudah pandai menyesuaikan keadaan mengikut keselesaan dirinya. Malah dia juga semakin aktif bergerak malah menunjukkan tindak balas ketika dirangsang dengan baik. Berat badannya kini sudah mencecah 1.1 kg dan panjangnya lebih kurang 39 sm.