Setiap proses kelahiran, rasa sakit ketika kontraksi tidak dapat dielakkan. Bantuan perubatan dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh bakal ibu.
Walaupun kesakitan ini digeruni dan diibaratkan sebagai satu bebanan, tetapi keadaan itu penting kerana setiap tingkat kesakitan itu menunjukkan bahawa masa untuk kelahiran sudah semakin hampir.
Sekiranya anda tidak mampu untuk mengalami kesakitan setiap kontraksi, bolehlah cuba kaedah bantu diri sendiri. Jika anda masih tidak mampu menahan kesakitan, mintalah bantuan kepada doktor. Biasanya doktor akan memberi beberapa alternatif.
EPIDURAL
Epidural adalah sejenis ubat bius yang melegakan rasa sakit dengan menjadikan saraf di bahagian bawah badan berasa kebas seketika. Kaedah ini berkesan untuk melegakan kesakitan terutama pada bahagian pinggang belakang. Cara pengambilannya adalah dengan menyuntik cecair epidural ke pinggang belakang melalui satu tiup.
Apabila ubat bius ini mulai berkesan, anda tidak akan berasa sakit dan masih sedar sepenuhnya. Namun, bagi sesetengah wanita, mereka akan berasa pening atau sakit kepala dan boleh berlanjutan untuk beberapa jam. Yang penting, ubat bius ini tidak memberi kesan terhadap bayi yang anda kandungkan.
Pengambilan ubat bius ini perlu dibuat secara berhatihati. Jangan sampai kelahiran peringkat kedua, kesan bius tadi masih tidak hilang. Akibatnya, anda tidak mampu untuk menolak keluar bayi dan doktor terpaksa membuat episotomi atau kelahiran forsep.
ENTONOKS (GAS DAN UDARA)
Campuran oksigen dan nitrus oksida dapat melegakan rasa sakit walaupun tidak sepenuhnya seperti epidural.
Jadi, kesan kesakitan kontraksi masih lagi terasa. Ia sangat berguna untuk kelahiran peringkat pertama. Prosedur entonoks ini bermula dengan menyedut gas tersebut melalui topeng yang dipegang dengan tangan. Topeng ini pula disambungkan ke silinder yang mempunyai campuran dua gas tadi.
Gas ini memerlukan masa setengah minit untuk sampai ke kemuncak. Oleh yang demikian, anda perlu menyedut gas ini untuk beberapa ketika sehingga doktor menyuruh berhenti. Tetapi, ada kalanya penggunaan gas ini boleh membuatkan anda berasa ingin pitam. Jika berlaku keadaan itu, cepat-cepat beritahu doktor.
PETIDINA
Ubat ini biasanya diambil seawal kelahiran peringkat pertama. Ia perlu diambil oleh ibu hamil yang tidak dapat mengawal perasaan seperti cemas atau sukar untuk merehatkan diri. Ubat ini akan diberikan melalui suntikan pada punggung atau paha. Petidina ini akan bertindak 20 minit kemudian dan berfungsi sehingga dua atau tiga jam.
Kesan daripada pengambilan ubat ini berbeza bagi setiap wanita. Sesetengah akan berasa tenang, selesa berehat dan sedikit mengantuk tetapi masih dalam keadaan sedar. Sesetengah wanita lain akan mengadu tidak dapat mengawal diri dan rasa mabuk. Badan anda berasa tidak sihat dan tidak mahu bergerak banyak.
Sekiranya ubat ini diberikan hampir kepada kelahiran peringkat ke dua, bayi mungkin akan mengalami sesak nafas dan mengantuk. Walau bagaimanapun, keadaan tersebut tidak mendatangkan masalah kerana kesan tersebut akan hilang setelah beberapa ketika anak dikeluarkan.
TENS
Kaedah ini dapat mengurangkan rasa sakit dan merangsang sistem kelegaan sakit semula jadi badan melalui impuls kecil arus elektrik pada bahagian belakang anda. Cara penggunaan tens ini adalah dengan meletakkan empat pad yang mengandungi rod elektrod pada sepanjang tulang belakang yang menampung perut.
Pad ini disambung oleh wayar ke suatu kawalan yang dipegang dengan tangan. Anda boleh mengawal kekuatan arus elektrik yang disalurkan. Kaedah ini dapat mengurangkan kesakitan untuk sesetengah wanita hamil terutama jika digunakan pada kelahiran tahap pertama. Namun, bagi sesetengah wanita menganggap kaedah ini tidak membantu kerana rasa sakit tetap ada.
Artikel Berkaitan

Awasi Simptom Praeklampsia. Lihat Jik...
Sekiranya masih belum bersalin dan turun tanda, inilah perubahan fizikal yang mungkin anda alami: Kaki dan buku lali membengkak. Tetapi jika bengkak keterlaluan dapat dilihat di tangan dan muka, sila rujuk kepada doktor. Hati-hati dengan simptom praeklampsia seperti sakit kepala, pandangan kabur, pening, muntah dan sakit pada bahagian abdomen. Segera ke hospital jika ada tanda-tanda ini. Payudara akan membengkak dan mengeluarkan kolostrum. Bahagian vagina pula akan rasa tidak selesa kerana bayi sudah semakin turun ke pelvis anda.

Tak Selera Makan, Ambil Oat Untuk Kek...
Jangan sesekali mengangkat benda berat. Pada waktu ini, anda digalakkan untuk banyak berjalan tetapi jangan buat kerja berat. Ketika tarikh bersalin semakin hampir, anda mungkin akan kerap berasa dahaga. Banyakkan pengambilan air kosong. Jika tidak berselera untuk makan, ambillah makanan yang kaya nutrisi dan mengenyangkan tanpa perlu dimakan banyak. Antaranya adalah oat atau roti bijirin penuh. Buatlah menu yang anda gemari dan makanlah sedikit tetapi secara kerap agar tubuh kekal bertenaga. Ketika ini, anda akan kerap berasa sejuk pada bahagian…

Hilangkan Rasa Gementar Dengan Coklat...
Jika anda mula merasai kekejangan pada bahagian perut, ia boleh jadi salah satu tanda yang anda sudah bersedia untuk bersalin. Kontraksi juga sudah mulai terasa, sekiranya rasa sakit itu melampau anda boleh segera ke hospital. Perhatikan juga jika anda sudah mulai merasai perut yang mengeras. Selain itu, mungkin anda akan terlihat ada tompokan coklat pada seluar dalam. Apa yang boleh anda buat adalah banyakkan berehat dan dapatkan tidur yang secukupnya bagi memastikan anda bersedia untuk bersalin. Sekiranya suami tiada di…