Anemia, lebih kerap disebut kurang darah, kadar sel darah merah (hemoglobin atau Hb) di bawah jumlah normal. Penyebab penyakit ini biasanya berpunca daripada kekurangan zat gizi untuk pembentukan darah misalnya zat besi, asid folat dan vitamin B 12. Walau bagaimanapun, kekurangan zat besi adalah faktor penyebab paling kerap.

Proses kekurangan zat besi sehingga menjadi anemia perlu melalui beberapa tahap. Peringkat awal, ibu hamil akan mengalami penurunan jumlah zat besi. Apabila jumlah zat ini semakin sedikit akan timbul gejala anemia disertai penurunan Hb.

Punca
Gejala awal anemia anda boleh lihat apabila badan semakin lemah, lelah, kurang bertenaga, kurang nafsu makan, daya tumpuan kurang, sakit kepala, mudah dijangkiti penyakit, stamina tubuh kurang dan pandangan menjadi gelap seketika terutama bila anda berdiri daripada duduk.

Selain itu, wajah, selaput lendir kelopak mata, bibir dan kuku menjadi pucat. Sekiranya tahap anemia yang anda hadapi sangat kritikal, berkemungkinan berlaku sesak nafas bahkan penyakit lemah jantung.

Anemia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Namun secara puratanya penghidap kaum wanita lebih tinggi daripada lelaki. Ibu hamil boleh juga mengalami masalah ini dan lebih mengejutkan apabila statistik mendapati 7 daripada 10 ibu hamil berkemungkinan akan mengalami anemia.

Pada kebanyakan wanita hamil, anemia disebabkan oleh kekurangan pengambilan zat yang diperlukan sedangkan tubuh memerlukan zat berkenaan lebih daripada biasa. Selain itu, kehamilan berulang pada waktu singkat juga boleh menjadi penyebabnya.

Oleh yang demikian, anda digalakkan mengambil banyak zat besi sama ada melalui makanan yang mengandungi zat tersebut mahupun ubat-ubatan yang membekal zat besi. Keperluan zat besi antara wanita hamil dengan wanita tidak hamil adalah berbeza.

Wanita dewasa misalnya perlukan 26 mg zat besi sehari, sedangkan wanita hamil perlu tambahan zat besi sekitar 20 mg sehari. Sekiranya anda disahkan mengalami gejala ini, jangan anggap mudah. Hal ini kerana, penelitian pakar mendapati angka kematian ibu hamil berkait rapat dengan masalah anemia.

Rawatan

Wanita hamil yang mengalami masalah anemia tahap dua atau berat disarankan agar mengambil pil zat besi selama tiga bulan berturut-turut. Pil ini dimakan setiap hari. Anda juga digalakkan mengambil makanan yang mengandungi zat yang sama misalnya makanan berbentuk susu dan roti.

Walau bagaimanapun, bagi penghidap anemia tahap satu atau tahap permulaan, anda hanya digalakkan mengambil zat besi daripada sumber semula jadi. Misalnya telur, susu, hati, ikan, daging, kacang seperti tempe, tauhu, dan kacang hijau, sayuran berwarna hijau tua seperti kangkung dan bayam, dan buah-buahan seperti limau, jambu dan pisang.