PERSEDIAAN SAMBUT KELAHIRAN

Bertenanglah! Anda sekarang sudah berada di penghujung jalan. Bila-bila masa sahaja anda mungkin perlu ke hospital. Jadi buatlah persiapan secukupnya.

Sebulan sebelum tarikh jangkaan kelahiran, anda perlu sudah siap dengan pelbagai persediaan termasuk persediaan mental dan barang keperluan sebelum dan selepas melahirkan. Sebelum anda menyediakan pelbagai keperluan, pastikan jumlah barang yang perlu di sediakan agar tidak terlebih bekalan.

BARANG KEPERLUAN SEBELUM BERSALIN

Sediakan sebuah beg yang memuatkan beberapa barang keperluan milik anda. Antaranya:

  1. Kemeja T yang longgar dan diperbuat daripada kain kapas agar aliran udara dapat berjalan dengan lancar.
  2. Stoking tebal. Hal ini kerana ketika menanti saat kelahiran berlangsung, anda akan mula rasa seram sejuk seperti mahu demam. Bawa juga tuala mandi dan tuala rambut.
  3. Barang kebersihan diri seperti, deodoran, bedak, sikat, berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi.
  4. Juga, anda perlu bawa air panas satu termos, buku untuk dibaca ketika masa lapang, makanan dan minuman.
  5. Bawa sekali buku telefon yang menyenaraikan nombor telefon ahli keluarga dan sahabat handai. Jangan lupa duit syiling jika menggunakan telefon awam. Sekiranya anda menggunakan telefon bimbit, pastikan ianya berfungsi.

BARANG KEPERLUAN SELEPAS BERSALIN

Muatkan dalam satu beg bersama barang keperluan sebelum bersalin. Atau minta pasangan membawa barang-barang ini kemudian.

Selain barang di atas, barang keperluan tambahan iniĀ  perlu ada. Antaranya:

  1. Pad payudara. Ia perlu di sisip pada baju coli untuk mengelak air susu meleleh keluar. Begitu juga tuala wanita khusus untuk selepas bersalin. Darah nifas selalunya akan keluar sejurus sahaja melahirkan bayi dan berpanjangan sehingga beberapa minggu.
  2. Sediakan dua tiga pasang coli yang ada bukaan pada hadapan untuk memudahkan memberi anak susu badan. Pastikan juga tali penyokong lebar agar dapat menampung buah dada yang sentiasa dipenuhi dengan susu badan. Begitu juga dengan seluar dalam. Pilih seluar dalam yang besar sekurang-kurangnya enam helai.
  3. Baju kemeja dengan bukaan di hadapan serta sepasang kasut atau selipar yang tidak bertumit.
  4. Juga beberapa barang lain seperti tisu, pengering rambut dan beg plastik besar untuk mengisi baju kotor.